Kekeliruan bidaah

KOMEN BANKWAHABI:

INILAH KERJA KAUM YANG INGIN KEPADA PERPECAHAN UMMAT. KAUM WAHABI TALAFI. TIDAK HABIS2 SEMBUR SANA SINI TENTANG BIDA’AH, WALHAL MEREKA TERSANGAT BIDA’AH DALAH TAUHID MEREKA YANG SAMPAI DARJAT KEKUFURAN. WAL I’YA ZUBILLAH.

Bicara Agama

Bersama: DR. AMRAN KASIMIN
SOALAN: Saya menjadi keliru dan seumpama hilang keyakinan apabila majlis membaca Yasin, sembahyang sunat dan berdoa beramai-ramai di masjid pada malam nisfu Syaaban lalu dikatakan bidaah. Bukan daripada amalan Rasulullah. Begitu juga dengan wirid dan tahlil yang dibaca selepas sembahyang. Setiap bidaah itu sesat.

Saya menjadi lemah semangat apabila ia disyarahkan oleh seorang ustaz.

– Alif, Gombak.

JAWAPAN: Persoalan-persoalan seperti ini memang sering timbul, termasuklah amalan lain, yang menjadi sebahagian daripada budaya Melayu. Ini termasuklah amalan membaca wirid dan tahlil selepas sembahyang waktu, membaca talkin, mengadakan kenduri, membaca tahlil atau doa arwah pada tiga hari berturut-turut selepas kematian, tujuh, 40 dan 100 hari, juga setiap tahun.

Tidak perlu rasanya dijelaskan alasan-alasan untuk memperkukuhkan keterangan keharusan amalan ini. Seorang yang ikhlas apabila berhadapan dengan sesuatu perbincangan perlu menyematkan dalam pemikirannya untuk menerima, menolak atau mengkaji lebih mendalam hujah-hujah yang dikemukakan. Bagi mereka yang tersemat dalam diri bahawa sesuatu amalan itu dikatakan bidaah, tidak ada sumber daripada Rasulullah, para sahabat dan sebagainya, penerangan-penerangan daripada hadis ataupun amalan Rasulullah, perbincangan seumpama ini hanya membuang masa.

Memang tidak ada petunjuk jelas yang Rasulullah ataupun para sahabat mengadakan kenduri arwah pada hari pertama sehingga hari-hari berkenaan. Oleh kerana ketetapan hari itu tidak dilakukan oleh Rasulullah tidak terdapat keterangan daripada hadis mengenainya, maka ia dinamakan bidaah. Lebih jelas diperkatakan bahawa amalan ini hanya rekaan manusia zaman kini. Tetapi tiada sesiapapun dapat menafikan kebaikan membaca al-Quran, membaca Yasin, amalan mendoakan kesejahteraan roh yang sedang menemui Allah s.w.t. juga kebaikan bersedekah memberi makan mereka yang hadir. Tiada yang menafikan kebaikan perhimpunan seumpama ini di antara saudara- mara, jiran-jiran dan tetamu yang datang.

Jelas di sini bahawa apa yang dianggap sebagai bidaah ada kebaikannya. Malah bidaah itu bukan semuanya sesat. Mungkin ada kebenarannya kalau seseorang itu mewajibkan kenduri pada hari-hari tersebut, tidak boleh dilakukan pada hari-hari lain.

Ketetapan hari mengadakan majlis tersebut lebih merupakan budaya Melayu, yang disepakati secara tidak langsung.

Rasulullah pernah memberitahu para sahabat tentang bulan Syaaban. Bulan tersebut dinamakan demikian kerana pada bulan itu Allah banyak memberi rahmat kepada hamba-Nya. Kelebihan Syaaban berbanding bulan-bulan lain ialah seperti kelebihan Rasulullah terhadap semua nabi manakala keutamaan Ramadan berbanding semua bulan adalah seperti keutamaan Allah kepada hamba-Nya.

Rasulullah pernah bersabda, menyatakan yang beliau didatangi malaikat Jibrail pada malam nisfu Syaaban. Jibrail menyatakan bahawa pada malam itu, pintu-pintu langit juga pintu-pintu rahmat dibuka, maka bangunlah dan sembahyang, angkat kepala dan kedua-dua tangan ke langit.

Rasulullah bertanya apakah erti malam tersebut. Ia menjawab, menyatakan bahawa pada malam tersebut 300 pintu rahmat dibuka. Allah mengampuni mereka yang tidak menyekutukan-Nya dengan sesuatu, melainkan ahli sihir, tukang tilik, orang yang suka bermusuh-musuhan, peminum arak, mereka yang terus-menerus melakukan zina, pemakan riba, orang yang derhaka kepada ibu bapa, orang yang suka mengadu domba dan yang memutuskan silaturahim.

Sesungguhnya mereka itu tidak akan diampuni sehinggalah mereka bertaubat tidak mengulanginya. Rasulullah bangun sembahyang sambil menangis dalam sujudnya sambil berkata: Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksaan-Mu dan kemurkaan-Mu dan aku tidak menghitung pujian-pujian ke atas-Mu seperti Engkau puji diri-Mu sendiri, maka segala puji adalah bagi-Mu.

Rasulullah memperbanyakkan puasa pada bulan ini. Diriwayatkan oleh al-Bukhari dan Muslim daripada Aishah katanya: Rasulullah tidak berpuasa lebih banyak daripada bulan Syaaban. Sesungguhnya baginda berpuasa seluruhnya dan terkadang-kadang sebahagian kecil sahaja.

Dalam lafaz yang lain beliau berkata: Saya tidak melihat Rasulullah berpuasa sebulan penuh selain pada bulan Ramadan dan saya tidak pernah melihat akan dia banyak berpuasa selain pada bulan Syaaban.

Pada hadis pertama menjelaskan bahawa baginda kadang-kadang berpuasa penuh pada bulan Syaaban dan ada kalanya hanya berpuasa sebahagian daripadanya sahaja.

Hadis kedua menjelaskan, baginda banyak berpuasa dalam bulan Syaaban, tetapi tidak penuh sebulan. Berdasarkan keterangan di atas, sebahagian ulama mengatakan bahawa kedua-dua bentuk ataupun cara puasa tersebut pernah dilakukan Rasulullah.

Sebahagian ulama menyatakan bahawa hadis kedua menafsirkan hadis pertama. Lafaz “nabi berpuasa seluruhnya itu bermaksud bahawa baginda berpuasa sebahagian besar daripada hari-hari bulan berkenaan.

Orang yang memuliakan bulan ini dengan beribadah akan terpelihara daripada maksiat, taubatnya diterima dan insya-Allah terpelihara daripada bencana tahun berkenaan. Begitulah juga mereka yang menghidupkan malam dua Hari Raya dengan ibadah.

Memang ada pendapat menyatakan amalan membaca Yasin dan sembahyang sunat khas dua rakaat pada malam berkenaan, setelah melakukan sembahyang maghrib, iaitu setelah mendirikan sembahyang sunat ba’diah adalah rekaan semata-mata.

Dikatakan juga bahawa sesetengah umat Islam suka menghidupkan malam ini mungkin kerana terdorong oleh kenyataan yang pernah disebutkan oleh sebahagian ulama dalam kitab-kitab tafsir dan hadis yang menunjukkan kelebihan malam nisfu Syaaban.

Persoalan-persoalan seperti ini memang sering dibesar-besarkan untuk mengelirukan dan melemahkan semangat untuk beribadah. Tanpa memberi sandaran ataupun bukti daripada hadis-hadis seseorang yang ingin melihat saudaranya menghidupkan malam dengan ibadah akan menyedari betapa pendapat-pendapat seperti ini boleh melemahkan hasrat menebal seseorang untuk menjadi seorang hamba kekasih Allah.

Kalau kita toleh sejarah pendidikan orang Melayu, didapati ada yang menyatakan bahawa orang Melayu lebih gemar menghantar anak-anak mereka kepada guru-guru membaca al-Quran berbanding kecenderungan anak-anak mereka ke sekolah Inggeris.

Guru-guru itu sendiri tidak tahu makna al- Quran yang diajar. Mereka mempelajarinya tidak ubah seumpama burung kakak tua, yang menekankan lagu dan bacaan.

Pandangan seperti ini ada kebenarannya. Memang benar anak-anak Melayu dari dahulu hingga sekarang mempelajari al-Quran tanpa mengetahui makna, kerana mereka diajar membaca al-Quran, bukan belajar di sekolah-sekolah Arab ataupun agama.

Belajar membaca al-Quran memadai dengan guru seumpama ini. Walaupun demikian pendapat tidak ubah seperti burung kakak tua mungkin menyebabkan seseorang itu memberhentikan anaknya belajar kerana dianggap sia-sia padahal hasil daripada mengaji seumpama itulah akan dijadikan asas sembahyang, belajar agama dan sebagainya.

Membaca Yasin pula tidak bidaah, tetapi yang bidaah ialah penentuan hari pada tarikh-tarikh yang dijelaskan. Begitu juga dengan amalan wirid dan tahlil selepas sembahyang, padahal beristighfar selepas sembahyang, juga pada waktu-waktu lain itu amat dituntut dalam Islam.

Dalam sebuah hadis dijelaskan bahawa barang siapa selalu beristighfar, Allah akan memberi jalan keluar setiap masalah yang dihadapi, digembirakan kalau ia dukacita dan diberi rezeki yang banyak.

Rasulullah juga bersabda: Barang siapa membaca ayat al-Kursi, setiap kali selepas sembahyang lima waktu, ia akan terpelihara sehingga sembahyang yang berikutnya.

Dua hadis ini sudah cukup memberi hujah betapa pentingnya amalan-amalan yang dilakukan selepas sembahyang. Hal demikian membuktikan bahawa anggapan menyatakan wirid dan tahlil selepas sembahyang itu bidaah hanya menyebabkan kekeliruan dan memecahkan perpaduan umat Islam yang kukuh pegangan agamanya seperti yang dilakukan di negara kita Malaysia.

– PEMBACA yang ada kemusykilan alamatkanlah soalan kepada:

Dr. Amran Kasimin Lot 3673, Jalan Aman, Kg. Sungai Merab Luar, 43000 Kajang, Selangor.

http://utusan.com.my/utusan/content.asp?y=2007&dt=0909&pub=Utusan_Malaysia&sec=Bicara_Agama&pg=ba_03.htm

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: